Interaksi dengan manusia Ular

Tanda-tanda paling umum bagi mana-mana jenis keracunan akibat patukan ular.[65][66] Terdapat perbezaan besar tanda-tanda antara patukan pelbagai jenis ular.[65]

Patukan

Vipera berus, sebatang siung dalam sarung tangan dengan kesan bisa yang kecil.

Ular biasanya tidak memangsakan manusia. Melainkan diganggu atau dicederakan, kebanyakan ular lebih gemar mengelak daripada didekati dan tidak menyerang manusia. Kecuali beberapa penjerut yang besar, ular yang tidak berbisa tidak berbahaya kepada manusia. Patukan ular tanpa bisa lazimnya tidak berbahaya kerana giginya tidak dibentuk untuk menyiatkan atau menyebabkan luka tusukan, sebaliknya sekadar menyambar dan memegang. Biarpun terdapat kemungkinan jangkitan dan kerosakan tisu apabila dipatuk oleh ular yang tidak berbisa, ular yang berbisa sudah tentu mendatangkan mudarat yang lebih besar kepada manusia.[5]:209

Kematian akibat patukan ular yang dicatatkan adalah jarang. Patukan ular berbisa yang tidak membunuh mungkin menyebabkan perlunya anggota badan diamputasi. Daripada kira-kira 725 spesies ular berbisa di serata dunia, hanya 250 spesies yang mampu membunuh manusia dengan sekali patukan. Australia mencatatkan purata hanya satu kematian akibat patukan ular setahun. Di India, 250,000 patukan ular dicatatkan dalam satu tahun, dengan sebanyak 50,000 kematian.[67]

Rawatan untuk patukan ular amat bergantung pada jenis patukan. Kaedah yang paling am dan berkesan adalah dengan mengguna antivenom (atau antivenin), sejenis serum yang diperbuat daripada bisa ular. Ada antivenom yang khusus untuk spesies tertentu (monovalen) dan ada juga yang dibuat untuk merawat bisa pelbagai spesies (polivalen). Contohnya di Amerika Syarikat, semua spesies ular berbisa merupakan spesies ular kapak kecuali ular karang. Untuk menghasilkan antivenom, satu campuran bisa daripada pelbagai spesies ular orok-orok, kepala tembaga, dan mokasin disuntik ke dalam badan kuda dalam dos-dos yang sentiasa meningkat sehingga kuda itu menjadi imun. Kemudian, darah diekstrak daripada kuda yang diimunkan itu. Serumnya diasingkan, kemudian ditulenkan dan dikeringsejukbekukan. Selepas itu, ia dibancuh dengan air steril lalu menjadi antivenom. Oleh sebab itu, sesiapa yang alah dengan serum kuda berkemungkinan besar mengalami reaksi alahan kepada antivenom.[68] Antivenom untuk spesies-spesies yang lebih berbahaya (seperti mamba, taipan, dan ular tedung) turut dihasilkan dengan cara yang sama di India, Afrika Selatan, dan Australia, cuma penawar-penawar itu adalah untuk spesies tertentu sahaja.

Hiburan

Ular tedung India di dalam bakul bersama pemain ular. Ular jenis ini mungkin paling kerap dijadikan 'mainan'.

Di sesetengah tempat di dunia, terutamanya India, sering diadakan persembahan "pukau ular" di tepi jalan. Dalam pertunjukan sebegini, pemain ular membawa sebuah bakul yang berisi seekor ular yang kononnya dipukau olehnya dengan memainkan lagu-lagu dengan serulingnya untuk diikut-ikut oleh ular.[69] Ular tiada telinga luaran, tetapi ada telinga dalaman, dan hanya bergerak balas pada gerak-geri seruling, bukan bunyinya.[69][70]

Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 di India sebenarnya melarang kegiatan memukau ular atas alasan membasmi kekejaman terhadap haiwan. Sesetengah pemukau ular turut mengadakan pertunjukan ular dengan cerpelai, dan kedua-dua haiwan tersebut berpura-pura berlawan; namun ini tidak begitu laris kerana boleh menyebabkan kedua-dua haiwan cedera parah atau terbunuh. Kegiatan memukau ular semakin lenyap di India disebabkan persaingan daripada bentuk hiburan moden dan undang-undang alam sekitar yang melarang amalan ini.[69]

Pemburuan

Kaum Irula yang tinggal di negeri-negeri Andhra Pradesh dan Tamil Nadu di India merupakan kaum pemburu-pengumpul di hutan dataran yang panas dan kontang, dan mengamalkan seni menangkap ular buat turun-temurun. Pengetahuan mereka tentang ular amat luas. Lazimnya, mereka menangkap ular dengan mengguna sebatang kayu yang ringkas. Pada awalnya, kaum Irula menangkap ribuan ular untuk industri kulit ular. Setelah industri kulit ular diharamkan sama sekali di India atas dasar perlindungan ular di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972, mereka membentuk Koperasi Penangkap Ular Irula dan beralih kepada penangkapan ular untuk membuang bisa dan membebaskan semula ular berkenaan selepas bisa diekstrak empat kali. Bisa yang dikumpul itu digunakan untuk membuat antivenom penyelamat nyawa, penyelidikan bioperubatan dan pelbagai lagi produk perubatan.[71] Kaum Irula juga diketahui memakan ular yang ditangkap mereka dan juga membantu dalam pembasmian tikus di kampung.

Di samping pemain ular, juga terdapat penangkap ular profesional. Pemerangkapan ular zaman moden melibatkan seorang ahli herpetologi yang menggunakan sebatang tongkat panjang yang hujungnya berbentuk "V". Ada juga yang menangkap ular dengan tangan sendiri.

Makanan

"Ular anjing laut" (dipercayai Enhydris bocourti) menjadi tarikan utama semeja hidangan hidup yang menanti penjamu selera di luar sebuah restoran di Guangzhou.Daging ular di restoran Taipei

Biarpun tidak difikirkan sebagai bentuk makanan pada umumnya, namun dalam beberapa budaya, pemakanan ular adalah diterima ataupun diminati ramai kononnya demi kesan perubatan memanaskan jantung. Sup ular dalam masakan Kantonis dimakan oleh orang setempat pada musim luruh untuk memanaskan badan. Dalam kebudayaan Barat juga tercatat pemakanan ular dalam keadaan kebuluran yang terlampau,[72] kecuali daging ular orok-orok masak yang digemari di rantau Barat Tengah Amerika Syarikat. Di negara-negara Asia seperti China, Taiwan, Thailand, Indonesia, Vietnam dan Kemboja, meminum darah ular, terutamanya ular tedung, dipercayai meningkatkan kejantanan seksual.[73] Darah disalirkan daripada ular hidup selagi mampu, lalu dicampurkan dengan sejenis bahan arak demi menyedapkan rasa.[73]

Di sesetengah negara Asia, penggunaan ular dalam alkohol juga diterima. Dalam hal begini, bangkai ular direndam dalam sebalang arak. Kononnya, ini membuat arak itu lebih kuat (dan lebih mahal). Contohnya di China, arak ular dihasilkan dengan merendamkan ular hidup-hidup ke dalam arak beras atau arak bijian. Pengambilannya mula-mula dicatatkan sewaktu dinasti Zhou Barat dan dianggap sebagai penawar penting yang dipercayai boleh mencergaskan semula peminumnya menurut perubatan tradisional Cina.[74]. Juga di Okinawa, ular habu menjadi ramuan untuk arak Awamori.[75]

Angkatan Khas Tentera Darat Amerika Syarikat dilatih untuk menangkap, membunuh dan memakan ular sepanjang kursus ikhtiar hidup, maka mereka dikenali dengan jolokan "pemakan ular".

Peliharaan

Di dunia barat, sesetengah jenis ular (terutamanya spesies-spesies yang jinak seperti ular sawa bebola dan ular jagung) dijadikan binatang peliharaan. Demi memenuhi permintaan ini, berkembanglah sebuah industri pembiakbakaan ular. Ular yang dibiakbaka dalam kurungan lebih sesuai untuk dipelihara dan lebih digemari berbanding ular liar yang ditangkap.[76] Ular ini boleh dijaga dengan sangat mudah berbanding dengan haiwan-haiwan yang lebih lazim seperti kucing dan anjing. Ruang yang diperlukan tidak besar kerana kebanyakan spesies ular belaan tidak mencecah lima kaki panjangnya. Ular peliharaan tidak perlu diberi makan dengan kerap, iaitu lazimnya sekali setiap 5 hingga 14 hari. Ular-ular tertentu boleh mencapai jangka hayat 40 tahun jika dijaga dengan sebaiknya.

Perlambangan

Di Mesir purba, ular menduduki peranan utama yang mana mahkota firaun dihiasi dengan ular tedung Nil. Ular turut disembah sebagai dewa dan juga digunakan untuk tujuan durjana, iaitu membunuh musuh serta upacara pembunuhan diri (Cleopatra).

Muka belakang singgahsana Firaun Tutankhamun dengan empat buah figura ular tedung ureus emas. Emas dengan lapis lazuli; Lembah Para Raja, Thebes (1347-37 SM).Medusa oleh pelukis Itali abad ke-16, Caravaggio.

Dalam mitologi Yunani, ular sering dikaitkan dengan seteru yang berbahaya, tetapi ini tidak bermaksud bahawa ular melambangkan kejahatan; sebenarnya, ular merupakan lambang ikatan kepada bumi. Raksasa Hydra Lerna berkepala sembilan yang ditumpaskan oleh Hercules dan tiga Gorgon bersaudari merupakan puteri Gaia, iaitu Bumi.[77] Medusa ialah salah seorang saudari Gorgon yang dikalahkan oleh Perseus.[77] Medusa diperikan sebagai makhluk hodoh yang berambutkan ular dan memiliki kuasa untuk menukar manusia kepada batu dengan tenungannya.[77] Selepas membunuhnya, Perseus menyerahkan kepala Medusa kepada Athena yang memasangnya kepada perisai Aegis.[77] Sesetengah raksasa Titan turut dilukiskan dengan ular sebagai ganti lengan dan kaki atas sebab yang sama, iaitu kerana mereka juga anak-anak kepada Gaia dan Ouranos (Uranus), oleh itu mereka turut diikat pada bumi.

Tiga lambang perubatan berunsur ular yang masih digunakan hari ini merupakan Piala Hygieia yang melambangkan farmasi, dan Kaduseus dan Tongkat Asklepios yang merupakan lambang am perubatan.[31]

India sering bergelar bumi ular dan kaya dengan tradisi yang berkenaan ular.[78] Ular disembah sebagai dewa hingga ke hari ini hinggakan ramai wanita menuangkan susu ke dalam lubuk ular (biarpun ular tidak gemar meminum susu).[78] Ular tedung kelihatan di keliling leher Shiva, sementara Vishnu sering digambarkan tidur di atas ular berkepala tujuh atau di dalam lingkaran ular.[79] Juga terdapat beberapa buah kuil di India yang khusus untuk menyembah ular tedung hidup, iaitu Nagraj (Raja Ular) dan adalah dipercayai bahawa ular merupakan lambang kesuburan. (Lihat juga Nāga.)

Makhluk Ouroboros merupakan lambang yang dikaitkan dengan pelbagai agama dan adat resam, dan dipercayai berkenaan dengan ilmu alkimia. Ouroboros ialah seekor ular yang memakan ekornya sendiri dalam arah ikut jam (dari kepala ke ekor) dalam bentuk bulatan, melambangkan kitaran hidup, mati dan lahir semula, iaitu keabadian.

Ular adalah yang keenam daripada 12 bintang zodiak Cina.

Kebanyakan kebudayaan kuno Peru menyembah alam semula jadi.[80] Budaya-budaya ini menekankan haiwan dan sering melukiskan ular dalam karya seninya.[81]

Agama

Tongkat Asklepios, yang mana ular yang menyalin kulit melambangkan penyembuhan.

Ular merupakan sebahagian daripada agama Hindu. Perayaan Nag Panchami yang mana penganut menyembah Nāga (ular tedung) dalam bentuk patung mahupun ular hidup disambut setiap tahun. Menurut kitab suci Purana, ular raksasa Shesha dikatakan memegang semua planet di alam semesta dengan tukup-tukupnya sambil menyanyi-nyanyikan lagu pujaan Vishnu dengan kesemua mulutnya. Adakalanya ia bergelar Ananta-Shesha, yang bererti "Shesha tanpa penghujung". Istilah Nāga sering memaksudkan makhluk berupa ular besar dalam agama Hindu dan Buddha.

Ular turut disanjung tinggi di Yunani Purba, yang mana ular digambarkan sebagai penyembuh. Asklepios memegang sebatang tongkat yang dilingkari oleh seekor ular, iaitu lambang yang sering kelihatan pada ambulans.

Dalam kebudayaan Mesoamerika pula, ular dan jaguar dikatakan sebagai haiwan-haiwan yang paling penting. "Dalam keadaan khayal, dewa-dewi menarikan tarian ular; ular-ular besar yang turun [dari syurga] menghiasi dan menonggak binaan-binaan dari Chichen Itza hingga Tenochtitlan, apalagi perkataan Nahuatl coatl yang bererti ular atau kembar, terdapat dalam nama-nama dewa Mixcoatl, Quetzalcoatl, dan Coatlicue."[82] Dalam takwim Maya dan Aztek, hari kelima dalam seminggu bergelar Hari Ular.

Bagi sesetengah penganut Kristian, usaha penebusan Jesus Christ dibandingkan dengan menyelamatkan nyawa diri dengan merenungi Nehushtan (ular loyang) (Injil Yahya 3:14). Pengendali ular menggunakan ular dalam upacara sembahyang di gereja untuk menunjukkan kepercayaan mereka kepada perlindungan dari Tuhan. Akan tetapi, ular sering dianggap sebagai lambang kejahatan dan komplot licik dalam agama Kristian, seperti yang diceritakan dalam kisah ular menggoda Hawa di Taman Eden. St. Patrick dikenali kerana mengusir semua ular dari Ireland sewaktu mengkristiankan negara tersebut pada abad ke-5, hingga tiada ular yang asli di situ.

Dalam agama Kristian dan Yahudi, dalam kitab pertama (Kejadian 3:1) dalam Alkitab, seekor ular tampil di hadapan pasangan pertama, Adam dan Hawa lalu menggoda mereka dengan buah khuldi dari Syajar Khuldi. Ular kembali dalam Keluaran apabila Nabi Musa a.s. selaku lambang kuasa Tuhan, menukarkan tongkatnya kepada ular, dan apabila baginda membuat Nehushtan, iaitu ular gangsa di atas tiang yang menyembuhkan mangsa patukan ular di gurun. Ular disebut buat kali terakhir selaku lambang Iblis dalam Kitab Wahyu: "Dia menangkap naga, si ular tua itu, iaitu Iblis dan Syaitan. Dan dia mengikatnya seribu tahun lamanya." (Wahyu 20:2) Dalam agama Yahudi juga, ular loyang merupakan lambang penyembuhan dan penyelamatan seseorang daripada maut yang pasti (Kitab Bilangan 21:6–9).

Rujukan

WikiPedia: Ular http://www.ctv.ca/servlet/ArticleNews/story/CTVNew... http://www.aucklandmuseum.com/349/natural-history-... http://www.cn939.com/tcm-article-read-4694.html http://www.fabuloustravel.com/gourmet/travel/cobra... http://books.google.com/books?id=BumyQJ14n8sC&pg=P... http://articles.timesofindia.indiatimes.com/2006-0... http://www.kingsnake.com/westindian/metazoa12.html http://www.mapress.com/zootaxa/2008/f/zt01841p030.... http://news.nationalgeographic.com/news/2002/04/04... http://www.nature.com/nature/journal/v440/n7087/ed...